Pustakawan Pro

Posted by PKG Bukit Badong on Thursday, September 02, 2010


Pustakawan Pro
Jawatan perlu bantu pelajar tingkat literasi maklumat.
BH/12.Mei.2010/m.s.24(7-10)
Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

            Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan jawatan pustakawan professional di perpustakaan sekolah bagi membangunkan kemahiran literasi maklumat dan memupuk tabiat membaca di kalangan pelajar.

            Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Raja Abdullah Yaacob, berkata pewujudan jawatan itu penting bagi memastikan pelajar sekolah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perpustakaan dan bukan sekadar meminjam buku saja.

            Beliau berkata, pendedahan kepada budaya perpustakaan dan literasi maklumat di peringkat awal itu penting sebagai persiapan pelajar mengikuti pengajian tinggi yang menghadapi ledakan maklumat berikutan perkembangan pesat sumber rujukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

            “Kebanyakan pelajar lemah dalam memanfaatkan kemudahan pepustakaan di universiti kerana mereka buat kali pertama terdedah kepada pusat rujukan besar yang dilengkapi bahan bercetak dan ICT.

            “Ini kerana di peringkat sekolah tiada pustakawan professional membimbing mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perpustakaan, sebaliknya hanya pustakawan dikalangan pelajar yang sekadar diberi tugas membuat catalog dan menguruskan pinjaman serta pemulangan buku.

            “Jika kementerian boleh mewujudkan jawatan bukan akademik seperti kauselor, apa salahnya jawatan pustakawan professional diadakan disekolah bagi memupuk budaya perpustakaan sejak awal lagi,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
            Raja Abdullah berkata, antara peranan yang boleh dimainkan pustakawan profesional di sekolah ialah memupuk tabiat membaca di kalangan pelajar dengan menyarankan buku sesuai dibaca mengikut minat dan tahap umur mereka.

            Beliau memberi contoh murid Tahun Satu dan Dua bermula dengan bacaan buku cerita dongeng atau kisah rakyat sebelum disaran membaca buku siri penyiasatan dan pengembaraan mulai Tahun Tiga, sementara novel serta buku kerjaya bagi pelajar sekolah menengah.

            Pustakawan profesional juga, katanya, dapat memastikan sekol;ah tidak ketinggalan menyediakan sumber rujukan ICT atau pengkalan data bersesuaian untuk rujukan pelajar serta membimbing mereka menggunakannya bagi mengelakkan kemudahan internet disalahgunakan.
            “Apabila didedahkan kepada budaya perpustakaan dan literasi maklumat sejak dibangku sekolah, pelajar tidak akan sewenang-wenangnya menyalahgunakan kemudahan internet atau membuang masa mencari maklumat yang terlampau.

            “Mereka juga akan lebih menghargai budaya keilmuan dan kesarjanaan yang begitu sinonim dengan perpustakaan, sekaligus tidak mudah tertarik dengan gangguan seperti kafe WiFi yang boleh membawa masalah social seperti lepak jika tidak dimanfaatkan sewajarnya,” katanya.


Sila beri komen anda ! terima kasih ….