Isu Beban Tugas Guru : Kenyataan Media.
Isu Beban Tugas Guru : Kenyataan Media
PEN: 10/2010/23 (PELAJARAN)
Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut :
Isu Beban Tugas Guru
1. Isu beban tugas guru telah ditimbulkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kepada Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin pada 30 Mac 2010. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG) yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Objektif penubuhan JKMIBTG adalah untuk menyenaraikan tugas dan tanggungjawab guru; mengenal pasti faktor yang menyebabkan beban tugas guru bertambah; dan mencadangkan tindakan bagi menangani isu beban tugas guru.
2. Satu sesi pembentangan laporan JKMIBTG kepada Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajararan telah diadakan pada 3 Jun 2010, dan sebanyak 14 faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada isu beban tugas guru. JKMIBTG juga telah mencadangkan 28 perakuan bagi menangani isu ini.
3. Bagi merealisasikan semua perakuan ini, satu Jawatankuasa Pelaksana Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah ditubuhkan dan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan. Antara perakuan yang telah diambil tindakan:
3.1 Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu diadakan secara berjadual serta tidak melebihi dua (2) kali sebulan, satu surat siaran telah dikeluarkan oleh KPM untuk memastikan pihak sekolah mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2005: Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu;
3.2 Bagi mengurangkan tugas rencam guru di sekolah, satu Garis Panduan Penggabungan Jawatankuasa telah disediakan supaya jumlah Jawatankuasa di peringkat sekolah tidak melebihi sepuluh (10) yang terpenting;
3.3 Bagi mengurangkan tugas perkeranian yang pada ketika ini dilaksanakan oleh guru, KPM telah memohon pertambahan jawatan Pembantu Tadbir melalui urusan pindah butiran perjawatan/ trade off bagi tujuan pelaksanaan kajian rintis di 50 buah sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1500 orang murid;
3.4 Bagi mengurangkan kekerapan guru keluar meninggalkan kelas untuk berkursus:
3.4.1 Satu Pelan Operasi Latihan (POL) Tahunan yang komprehensif sedang dibangunkan untuk dilaksanakan dalam tahun 2011;
3.4.2 Kursus Dalam Perkhidmatan secara atas talian (online) akan diperkenalkan; dan
3.4.3 Pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam pembentangan bajet 2011 yang telah diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia.
3.5 KPM telah memohon peruntukan kewangan dalam Anggaran Belanja Mengurus 2011 bagi menampung keperluan khidmat Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT); dan
3.6 One Stop Centre diwujudkan di peringkat KPM bagi tujuan pengumpulan dan penyelarasan data.
Lebih lanjut : http://www.scribd.com/doc/40139229/Isu-Beban-Tugas-Guru
0 Responses to "Isu Beban Tugas Guru : Kenyataan Media."
Leave A Comment :